Friday, March 13, 2020

PERKAHWINAN DAN PENCERAIAN DALAM RUMAHTANGGA ISLAM

Assalamualaikum semua kawan-kawan,

Keinginan dan lumrah manusia untuk berpasangan dalam kehidupan. Setiap manusia ada keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Jadi sebab itulah perlunya sesuatu yang menghalalkan ikatan itu melalui perkahwinan. Tetapi tidak semua perkahwinan yang akan berkekalan hingga ke akhir hayat. Ada juga yang berakhir dengan penceraian, jadi ini yang kita perlu tahu apa yang bila penceraian terjadi. Disini banyak perkongsian dan ilmu  yang boleh kita dapati GUAMAN SYARIE




Perkahwinan merupakan salah satu naluri manusia, kerana dengan adanya perkahwinan, tumbuh rasa saling memberi, memiliki dan saling membantu. Sesebuah perkahwinan seharusnya diisi dengan kebahagiaan, harmoni, disulami sifat sabar, toleransi dan sebagainya dalam menjadikan kehidupan dan kelangsungan perkahwinan wujud keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

Perkahwinan adalah rahmat. Setiap pasangan mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu dipenuhi, tempat untuk berkasih saying dengan cara yang terbaik bagi menjaga keharmonian.

Dalam sebahagian agama lain mendakwa bahawa perkahwinan adalah selama-lamanya. Namun sekiranya sesebuah perkahwinan itu tidak berhasil bagi mencapai kebahagiaan, perceraian merupakan jalan keluar kepada masalah rumahtangga dan hal ini diiktiraf di sisi Islam, iaitu melalui kaedah-kaedah yang tertentu, dengan sebab dan syarat-syarat yang tertentu.

Islam tidak menjadikan perkahwinan itu umpama penjara yang tidak boleh keluar selepas memasukinya.

Penceraian dalam islam.


Perceraian adalah suatu perkara yang dibenarkan oleh Islam. Walau bagaimanapun, ianya adalah merupakan kaedah atau jalan pilihan yang terakhir sekiranya sesebuah perkahwinan itu dilihat sudah tidak mempunyai kemungkinan untuk diteruskan.


Perceraian dalam Islam adalah salah satu yang paling kebencian oleh Yang Maha Kuasa, dan ia merupakan jalan terakhir yang dilakukan oleh setiap pasangan setelah membuat segala percubaan yang boleh membaiki keadaan di antara mereka.

Firman Allah SWT mafhumnya,
 “Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh ‘iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik” (Al-Talaq: 2)

Jenis jenis penceraian.


Perceraian dalam Islam boleh dikategorikan dalam beberapa bentuk. Sebahagiannya ada yang dimulakan oleh pihak lelaki (suami) dan ada juga perceraian yang dimulakan oleh pihak perempuan (isteri).

Perceraian yang kebiasaannya berlaku adalah perceraian secara talak. Walau bagaimanpun, terdapat beberapa kaedah lain yang turut dipraktikkan di mahkamah sebagai proses perceraian atau pembubaran bagi sesebuah rumahtangga.

Secara amnya, terdapat lima kaedah perceraian yang dipraktikkan dalam pengamalan perundangan di Malaysia iaitu Talak, Ta’liq, Khulu’, Fasakh dan Li’an. Bagi setiap jenis perceraian, Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri adalah undang-undang yang mentadbir hal berkenaan jenis perceraian yang dipohon kepada Mahkamah.


Cerai secara talak.


Perceraian secara talak berlaku apabila suami melafazkan cerai kepada isteri, sama ada dengan kebenaran mahkamah atau tanpa kebenaran mahkamah. Perceraian secara talak perlu dibuat dengan kebenaran mahkamah iaitu kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, lalu suami melafazkan talak terhadap isteri. Jenis perceraian ini adalah merujuk kepada seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Fast track).
Walau bagaimanapun, sekiranya perceraian berlaku di luar atau tanpa kebenaran Mahkamah, permohonan perlu dibuat kepada Mahkamah bagi tujuan pengesahan perceraian di luar Mahkamah tersebut. Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa:
 “…seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafaz itu adalah sah mengikut Hukum Syarak.”

Talak terbahagi kepada dua iaitu talak soreh dan talak kinayah.


(a) Talak Soreh.

 iaitu lafaz talak yang jelas seorang suami kepada isterinya. Contoh: “Aku ceraikan kau dengan talak satu”, atau “Engkau telah aku ceraikan”, walaupun dilafazkan tanpa niat.

(b) Talak Kinayah.

 iaitu lafaz talak yang tidak jelas dan memerlukan kepada niat suami menceraikan isterinya sewaktu lafaz dibuat. 

Contoh talak kinayah:

 “Aku tak nak tengok muka kau lagi”, atau “Pulanglah kepada orang tuamu”. 

Lafaz seperti ini merupakan lafaz yang memerlukan penelitian bagi menentukan adakah ianya bermaksud untuk bercerai atau sebaliknya. Talak yang dibuat secara bertulis seperti tulisan pada kertas, SMS, whatsapp, tulisan di batu, kayu atau air juga termasuk dalam talak secara kinayah.

Seseorang suami itu berhak untuk menceraikan isterinya dengan tiga bilangan talak. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu talak raj’ie dan talak ba’in.

(a) Talak Raj'ie.


iaitu talak satu (1) dan talak dua (2). Apabila telah berlaku talak, suami yang mahukan semula isterinya boleh merujuk kembali isterinya dalam tempoh ‘iddah dan kembali menjadi pasangan suami isteri semula tanpa perlu kepada akad perkahwinan yang baru.

(b) Talak Ba'in.


Talak ba’in terbahagi kepada dua iaitu ba’in sughra dan ba’in kubra.

(i) Talak ba’in sughra:

Talak satu (1) atau talak (2) yang tidak boleh dirujuk dalam tempoh ‘iddah. Apabila talak ba’in sughra berlaku, seseorang suami yang mahu isterinya kembali padanya perlu kepada akad perkahwinan yang baharu.

(ii) Talak ba’in kubra: 

Iaitu talak tiga (3), sama ada talak tiga secara satu persatu atau talak tiga sekaligus. Apabila berlaku talak tiga, suami tidak boleh merujuk kembali isterinya, melainkan setelah isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain, hidup sebagai suami isteri dan kemudian berpisah dengan suami barunya sama ada atas sebab perceraian atau kematian.
 “Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya”. (Al-Baqarah : 230)


Cerai Ta'liq.


Cerai secara ta’liq adalah perceraian yang berlaku disebabkan oleh perkara yang tergantung yang mengakibatkan kepada perceraian. Sekiranya perlanggaran ta’liq berlaku, maka akan terjatuh talak seperti yang dilafazkan.


Terdapat dua jenis ta’liq yang dipraktikkan di Malaysia iaitu ta’liq rasmi dan ta’liq biasa yang berlaku dalam perkahwinan.

(a) Ta’liq rasmi:


iaitu lafaz ta’liq yang dipersetujui oleh suami dan isteri pada masa akad perkahwinan. Ta‘liq rasmi dibaca oleh suami kepada isteri di hadapan naib kadi setelah selesai akad nikah. Kesemua lafaz ta‘liq berkenaan dicatat dalam perakuan ta‘liq atau sijil nikah. Lafaz ta’liq adalah berbeza mengikut negeri-negeri di Malaysia. Contoh lafaz ta’liq seperti,

 “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk”.

(b) Ta‘liq lisan 


ialah ta‘liq yang dilafazkan oleh suami dengan pilihannya sendiri dalam apa-apa sahaja perkara. Seseorang suami bebas melafazkan sebarang ta‘liq berkenaan sama ada dengan kehendaknya sendiri atau diucapkan dengan permintaan isteri dan sebagainya. Ta’liq ini kebiasannya berlaku dalam sesebuah perkahwinan. Contoh lafaz ta’liq seperti,

 “Sekiranya kau berjumpa lelaki itu lagi, jatuh ke atas engkau talak satu”, atau “Jatuh talak ke atasmu selepas aku keluar dari rumah ini”.
Ta‘liq akan mensabitkan talaq apabila berlaku perlanggaran ta‘liq yang telah disebutkan oleh suami. Menurut seksyen 50 pula menyatakan,
 “…Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku”.
Sekiranya perlanggaran ta’liq berlaku dan dirujuk bagi pengesahan cerai oleh Mahkamah, maka secara automatiknya perceraian yang berlaku ini adalah suatu kesalahan menurut undang-undang iaitu perceraian di luar atau tanpa kebenaran Mahkamah dan boleh dikenakan tindakan.,


Cerai Fasakh.


Cerai Fasakh merupakan salah satu kaedah permohonan pembubaran perkahwinan kepada mahkamah apabila berlaku kemudharatan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.Sekiranya kuasa talak terletak pada tangan suami, perceraian secara fasakh pula terletak pada isteri. Walau bagaimanapun, suami juga boleh memohon fasakh dalam keadaan tertentu.


Terdapat banyak asbab yang membolehkan seseorang memohon fasakh di Mahkamah.. Antaranya adalah suami telah cuai atau tidak memperuntukkan nafkah selama tempoh tiga bulan, wujud penganiayaan dalam rumahtangga, lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan menderita, tidak melayani isteri dengan adil (dalam kes poligami) dan sebagainya.

Islam amat melarang perbuatan menzalimi wanita sebagaimana firman Allah SWT di dalam sebahagian surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud:

 “….dan janganlah kalian pegang mereka (isteri) dengan maksud memberi mudarat kerana kami hendak melakukan kezaliman terhadap mereka….”
Seksyen 52 Akta yang sama memperuntukkan hal-hal yang boleh dijadikan alasan bagi permohonan fasakh Sekiranya isteri mampu memberikan bukti-bukti yang jelas dan nyata kepada Mahkamah, maka hakim berhak untuk membubarkan perkahwinan tersebut.

Cerai Khulu'

Khulu’ merupakan salah satu jenis tindakan perceraian yang dimulakan oleh isteri kepada suami. Dalam hal ini, seseorang isteri menawarkan kepada suaminya sejumlah wang atau pampasan bagi tujuan perceraian.

Perceraian ini berlaku dengan lafaz talak oleh suami apabila dia bersetuju dengan wang atau pampasan tersebut. Perceraian ini dirujuk pada seksyen 49 yang menyatakan,

 “(1) Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tidak boleh diruju’kan”.
Kesan cerai secara khulu’ adalah talak yang disabitkan ke atas isteri merupakan talak ba’in sughra, iaitu talak yang tidak boleh dirujuk dalam tempoh ‘iddah. Sekiranya bekas suami mahu isterinya kembali semula kepadanya, pasangan perlu kepada akad perkahwinan yang baru.

Cerai Li'an.


Perceraian secara li’an berlaku apabila seseorang suami bersumpah dengan menyatakan bahawa isterinya telah melakukan zina dengan lelaki lain, atau apabila suami menafikan anak yang lahir daripada kandungan isterinya adalah bukan anaknya. Kaedah sumpah ini dilakukan dengan cara dia bersumpah sebanyak empat kali dan pada sumpah kelima menyatakan bahawa dia bersedia menerima laknat Allah sekiranya ia berbohong.
Seterusnya, isteri kemudiannya bersumpah balik sebanyak empat kali menafikan segala pertuduhan suami ke atasnya iaitu tidak melakukan zina. Dan pada sumpah kelima nyatakan bahawa dia bersedia menerima laknat Allah sekiranya tuduhan suami terhadapnya adalah benar.
Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 Seksyen 50A menyatakan,
 “(1) Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, apabila penghakiman, maka Hakim Syarie itu hendaklah memerintahkan mereka difarakkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya”.
Kesan daripada hal ini berlaku adalah apabila kedua-duanya telah berangkat sumpah mengikut hukum syarak, Hakim akan mengarahkan perkahwinan ini difaraqkan (dipisahkan). Kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali dan perkahwinan tersebut adalah terpisah buat selama-lamanya.

Kesimpulan.


Perceraian bukanlah perkara pertama yang perlu difikirkan apabila berlaku masalah dalam rumahtangga, sebaliknya ianya merupakan langkah terakhir dalam konflik masalah rumahtangga yang berlaku.
Namun sekiranya perceraian adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, pilih kaedah perceraian yang sesuai dengan situasi dan keadaan yang berlaku. Proses perceraian di Mahkamah bukanlah suatu yang terlampau rumit, walau bagaimanapun sekiranya dilakukan dengan sambal lewa boleh menyebabkan prosiding perceraian semakin rumit dan memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya.
Apabila berlaku permasalahan rumahtangga, adalah dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak tertentu seperti Pejabat Agama Islam Daerah, kaunselor, Perunding Keluarga Islam di firma guaman dan sebagainya bagi mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan berkenaan masalah yang dihadapi sebelum membuat tindakan seterusnya.

17 comments:

  1. Nauzubillah min zalik (نعوذ بالله من ذلك ) - kami berlindung dengan Allah daripada perkara (buruk) tersebut (daripada menimpa kami).

    btolla kak dana ., ilmu nikah kahwin cerai ni ramai yg amek mudah.,
    timekaseh krn peringatan bermanfaat nih

    ReplyDelete
    Replies
    1. mintak di jauhkan ye wak, tapi itulah kene ambil tahu jugak kan

      Delete
  2. terima kasih atas perkongsian. banyak maklumat baru yg sebelum ni tak tahu

    ReplyDelete
  3. Orang selalu ambil mudah tapi bila dah kena diri sendiri barulah kelam kabut.
    Banyak info dapat terima kasih atas perkongsian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu kak, nak tak kene ambil tahu jugak kan

      Delete
  4. Terima kasih atas perkongsian. Banyak dapat ilmu baru ini :)

    ReplyDelete
  5. soal nikah dan soal cerai jangan buat main-main..

    ini adalah perkara yang amat serius dan nightmare bagi mereka yang pernah mengalaminya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu mr Hanafi, bukan benda kecil nikah cerai ni

      Delete
  6. Terima kasih kongsi ilmu ni.. rasa takut sangat nak baca info-info gini.. huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul perempuan kalau boleh memang takut, tapi nak tak nak kita kene tahu jugak... minta di jauhkan dari terjadi kan

      Delete
  7. Banyak jenis cerai rupanya.. huhuhu.. TQ share Dana..

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul kita sendiri pun tau beberapa jenis je hehehe

      Delete
  8. betapa penting ilmu munakahat dalam kehidupan kita

    ReplyDelete
  9. nikah cerai ni bukan perkara main-main..kadang2 tanpa sedar, tersilap sikit je boleh jadi perceraian...

    ReplyDelete

sila tinggalkan jejak,jangan memalu ye...